Pages

7 December 2011

Nafkah Isteri Bekerja

Pada zaman millenium ini,ramai isteri-isteri yang bekerja membantu suami menampung perbelanjaan rumahtangga. Persoalannya, adakah wajib ke atas suami untuk memberi nafkah kpd isteri-isteri yang bekerja?

Sebelum menjawab persoalan ini,perlulah difahami bahawa nafkah bukan semata-mata bermaksud 'duit poket'. Nafkah merangkumi semua keperluan yang dapat meneruskan kelangsungan hidup. Wajib ke atas suami untuk memberi nafkah kepada perkara-perkara asas (dharuriyyat) yang mana jika tidak disediakan oleh suami, isteri dan anak-anak akan berada dalam keadaan susah dan tidak selamat. Antaranya ialah tempat tinggal yang selamat, makanan yang mencukupi, pakaian yang mencukupi, pendidikan anak-anak.

Suami juga haruslah menyediakan perkara-perkara keperluan (hajiyyat) lainnya yang perlu untuk memudahkan urusan rumahtangga seperti alatan memasak, pinggan mangkuk, perabot-perabot asas, kenderaan, telefon dan sebagainya.

Adapun perkara selain daripada dharuriyyat dan hajiyyat, tidaklah wajib ke atas suami. Perkara itu ialah untuk kesenangan dan kemewahan (tahsiniyyat) seperti hiasan dalam rumah, perabot-perabot tambahan, pakaian yang berlebihan (lebih dari cukup), permainan anak-anak dan lain-lain lagi. Maksudnya di sini, sekiranya perkara tahsiniyyat ini tidak disediakan oleh suami pun, isteri dan anak-anak masih boleh menjalankan kehidupan dengan baik.

Kebanyakan isteri-isteri telah salah faham dalam memahami maksud sebenar nafkah. Mereka beranggapan suami wajib memberi 'duit poket' (tidak termasuk perbelanjaan dapur) setiap bulan sebagai nafkah. Kebiasaannya suami telah pun menyediakan nafkah wajib terhadap isterinya. Isteri yang bekerja boleh membantu suami dalam urusan kewangan rumahtangga. Namun, suami tidak boleh mengambil duit isteri tanpa kerelaan dan persetujuan isteri.

Bantu Suami adalah Sedekah

Kita sebagai isteri yang bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri sekaligus membantu suami dalam menyediakan keperluan rumahtangga adalah merupakan insan yang sangat hebat. Kerana kita dapat membuat pahala yang berlipat kali ganda dengan cara itu. Setiap bantuan yang dihulurkan dikira sedekah. Dan sebagaimana yang kita tahu pahala sedekah amatlah banyak.

Kita boleh mencontohi isteri Nabi Muhammad SAW, Saidatina Khadijah seorang usahawan berjaya, tidak lokek dengan harta kekayaan yang dimilikinya. Kesemua hartanya beliau sedekahkan untuk membantu perjuangan suaminya yang tercinta menegakkan Islam. Hinggakan beliau berkata, andai setelah beliau meninggal dunia, ambillah tulangnya jika boleh digunakan untuk membantu Islam. Masya Allah! Begitu hebat keimanan Saidatina Khadijah. Begitu juga isteri-isteri baginda yang lainnya, sangat lazim mengamalkan amalan bersedekah.


Maka, dalam rumahtangga sahaja pun kita boleh membina pahala-pahala yang dijanjikan oleh Allah. Apakah kita masih lagi mahu bersungut kerana membantu suami mengurus kewangan rumahtangga yang saban hari dan saban tahun meningkat. Ikhlaskanlah hati kita membantu suami kerana Allah. InsyaAllah kita tidak akan rasa terbeban, mahupun rugi membantu suami.

Janganlah kita menjadi isteri yang membebankan dan menyusahkan suami dengan sikap yang suka meminta itu dan ini. Apatah lagi permintaan kita itu diluar kemampuan suami. Isteri yang solehah akan redha dan menerima seadanya apa yang telah disediakan oleh suaminya. Tidak merungut dengan kekurangan, tidak meminta yang lebih.

Ayuh, sama-samalah kita berusaha menjadi isteri yang solehah..

No comments:

Post a Comment