Pages

9 December 2011

Sayangkah kita pada Allah?

Ya..sayangkah kita pada Allah? Saya bertanya  sendiri di dalam hati.. Kita menyebut dengan lidah kita sayangkan Allah..tapi benarkah? Sejauh manakah kita menyayangi Allah?

Sebelum Allah menurunkan Nabi Adam dan Hawa ke bumi, Allah dengan sifat Maha Penyayang telah menyediakan bumi dengan segala kelengkapan dan keperluan yang sempurna untuk Nabi Adam dan Hawa meneruskan kehidupan di atas muka bumi. Sehinggalah hari ini, nikmat kurniaan tidak terhitung telah Allah berikan kepada kita kerana sayangnya Allah pada kita.

Nikmat tubuh badan yang sempurna dan boleh pula berfungsi sebaiknya. Ada mata boleh melihat, ada telinga boleh mendengar, ada tangan boleh menyentuh, ada kaki boleh bergerak..dan banyak lagi nikmat Allah yang tak terhitung oleh kita. Namun, sejauh manakah kita menyayangi Allah atas segala kurniaanNya ini?

Satu perbandingan yang mudah. Jika kita menyayangi suami dengan sepenuh hati, kita akan melakukan apa yang disuruh dan disukai oleh suami kita, dan meninggalkan segala yang dilarang dan tidak disukai oleh suami. Apabila suami pulang daripada bekerja, kita akan sambut suami di muka pintu dengan senyuman yang paling manis, kita akan memasak, menyediakan segala-galanya untuk suami. Kita juga tidak akan buat perkara yang tidak disukai atau dilarang oleh suami. Kerana apa? Kerana sayangnya kita pada suami.

Tapi, bagaimana pula dengan Allah? Seharusnya dan selayaknya, kita lebih menyayangi dan lebih mencintai Allah berbanding suami kita. Jadi, jika benar kita menyayangi Allah, kita wajib 'melakukan suruhannya dan meninggalkan larangannya'. Itulah buktinya kita menyayangi Allah. Dan sentiasalah berdoa untuk menyayangi dan mencintai Allah selamanya..

7 December 2011

Kenduri Kahwin Oh Kenduri Kahwin!

Cuti penggal persekolahan memang menjadi pilihan ramai untuk melangsungkan majlis pernikahan dan perkahwinan. Saya juga tak ketinggalan menerima jemputan ke majlis tersebut. Ingin saya kongsikan di sini sebuah majlis perkahwinan yang saya hadiri baru-baru ini.

Saya tidak pernah merasakan betapa indah dan bahagianya sebuah majlis kenduri perkahwinan (yang saya hadiri) melainkan kenduri ini. Kenapa saya berkata begitu? Ya, kenduri ini lain daripada yang lain. 

Kenduri ini sangat meriah dengan kehadiran ramai tetamu. Tetamu yang hadir pula, 'sedap mata memandang' dengan mengenakan pakaian cantik lagi menutup aurat. Tetamu lelaki (muslim dan bukan muslim) berpakaian sopan dengan jubah, baju melayu dan t-shirt. Tidak kelihatan yang mengenakan 'fesyen akhir zaman' seperti rambut yang diwarnakan, rambut 'kusut masai' ala pelakon Korea, yang berseluar jeans ketat. Semuanya nampak soleh dan sopan. Tetamu wanita yang hadir pun begitu juga. Mereka memakai jubah, bertudung labuh, berbaju kurung sungguh sopan. Tidak ada yang berhias berlebih-lebihan atau bersolek sakan. Sangat indah dan menenangkan.

Telinga saya juga aman daripada bunyi-bunyian muzik lagu perkahwinan yang selalunya terdapat di kenduri yang lain. Tiada juga alunan kompang atau alunan nasyid dan selawat yang membingitkan. Suasana yang tenang. Tetamu dapat berbual mesra dan menjalinkan ukhuwwah dengan mudah kerana tidak perlu mengangkat suara atau pun 'replay' isi bualan. Tetamu dapat menikmati hidangan dengan sebaiknya.

Pengantin perempuan pula sentiasa berada di dalam rumah. Jika ada saudara mara atau kenalan yang ingin berjumpa dengan si raja sehari, mereka akan masuk ke rumah.Dengan ini si raja sehari terhindar daripada pandangan-pandangan lelaki yang bukan mahram. Sangat terjaga. Pengantin pula tidak bersolek dengan pemerah pipi, gincu di bibir dan pembayang mata. Hanya bedak dihiaskan di muka menampakkan kecantikannya yang asli di samping baju pengantin yang sempurna menutupkan auratnya.

Inilah pengalaman yang tidak dapat saya lupakan..insyaAllah. Masih sukar untuk menemukan majlis kenduri kahwin yang sebaik ini. Majlis kenduri kahwin yang menjamin kesejahteraan dan kebahagian kedua-dua belah pihak tuan rumah dan tetamu. Majlis kenduri yang tidak membazir berlebih-lebihan. Majlis kenduri yang ada kedamaian dan ketenangan padanya. Majlis kenduri yang mendapat berkat dan rahmat daripada Allah..


Nafkah Isteri Bekerja

Pada zaman millenium ini,ramai isteri-isteri yang bekerja membantu suami menampung perbelanjaan rumahtangga. Persoalannya, adakah wajib ke atas suami untuk memberi nafkah kpd isteri-isteri yang bekerja?

Sebelum menjawab persoalan ini,perlulah difahami bahawa nafkah bukan semata-mata bermaksud 'duit poket'. Nafkah merangkumi semua keperluan yang dapat meneruskan kelangsungan hidup. Wajib ke atas suami untuk memberi nafkah kepada perkara-perkara asas (dharuriyyat) yang mana jika tidak disediakan oleh suami, isteri dan anak-anak akan berada dalam keadaan susah dan tidak selamat. Antaranya ialah tempat tinggal yang selamat, makanan yang mencukupi, pakaian yang mencukupi, pendidikan anak-anak.

Suami juga haruslah menyediakan perkara-perkara keperluan (hajiyyat) lainnya yang perlu untuk memudahkan urusan rumahtangga seperti alatan memasak, pinggan mangkuk, perabot-perabot asas, kenderaan, telefon dan sebagainya.

Adapun perkara selain daripada dharuriyyat dan hajiyyat, tidaklah wajib ke atas suami. Perkara itu ialah untuk kesenangan dan kemewahan (tahsiniyyat) seperti hiasan dalam rumah, perabot-perabot tambahan, pakaian yang berlebihan (lebih dari cukup), permainan anak-anak dan lain-lain lagi. Maksudnya di sini, sekiranya perkara tahsiniyyat ini tidak disediakan oleh suami pun, isteri dan anak-anak masih boleh menjalankan kehidupan dengan baik.

Kebanyakan isteri-isteri telah salah faham dalam memahami maksud sebenar nafkah. Mereka beranggapan suami wajib memberi 'duit poket' (tidak termasuk perbelanjaan dapur) setiap bulan sebagai nafkah. Kebiasaannya suami telah pun menyediakan nafkah wajib terhadap isterinya. Isteri yang bekerja boleh membantu suami dalam urusan kewangan rumahtangga. Namun, suami tidak boleh mengambil duit isteri tanpa kerelaan dan persetujuan isteri.

Bantu Suami adalah Sedekah

Kita sebagai isteri yang bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri sekaligus membantu suami dalam menyediakan keperluan rumahtangga adalah merupakan insan yang sangat hebat. Kerana kita dapat membuat pahala yang berlipat kali ganda dengan cara itu. Setiap bantuan yang dihulurkan dikira sedekah. Dan sebagaimana yang kita tahu pahala sedekah amatlah banyak.

Kita boleh mencontohi isteri Nabi Muhammad SAW, Saidatina Khadijah seorang usahawan berjaya, tidak lokek dengan harta kekayaan yang dimilikinya. Kesemua hartanya beliau sedekahkan untuk membantu perjuangan suaminya yang tercinta menegakkan Islam. Hinggakan beliau berkata, andai setelah beliau meninggal dunia, ambillah tulangnya jika boleh digunakan untuk membantu Islam. Masya Allah! Begitu hebat keimanan Saidatina Khadijah. Begitu juga isteri-isteri baginda yang lainnya, sangat lazim mengamalkan amalan bersedekah.


Maka, dalam rumahtangga sahaja pun kita boleh membina pahala-pahala yang dijanjikan oleh Allah. Apakah kita masih lagi mahu bersungut kerana membantu suami mengurus kewangan rumahtangga yang saban hari dan saban tahun meningkat. Ikhlaskanlah hati kita membantu suami kerana Allah. InsyaAllah kita tidak akan rasa terbeban, mahupun rugi membantu suami.

Janganlah kita menjadi isteri yang membebankan dan menyusahkan suami dengan sikap yang suka meminta itu dan ini. Apatah lagi permintaan kita itu diluar kemampuan suami. Isteri yang solehah akan redha dan menerima seadanya apa yang telah disediakan oleh suaminya. Tidak merungut dengan kekurangan, tidak meminta yang lebih.

Ayuh, sama-samalah kita berusaha menjadi isteri yang solehah..