Pages

7 December 2011

Kenduri Kahwin Oh Kenduri Kahwin!

Cuti penggal persekolahan memang menjadi pilihan ramai untuk melangsungkan majlis pernikahan dan perkahwinan. Saya juga tak ketinggalan menerima jemputan ke majlis tersebut. Ingin saya kongsikan di sini sebuah majlis perkahwinan yang saya hadiri baru-baru ini.

Saya tidak pernah merasakan betapa indah dan bahagianya sebuah majlis kenduri perkahwinan (yang saya hadiri) melainkan kenduri ini. Kenapa saya berkata begitu? Ya, kenduri ini lain daripada yang lain. 

Kenduri ini sangat meriah dengan kehadiran ramai tetamu. Tetamu yang hadir pula, 'sedap mata memandang' dengan mengenakan pakaian cantik lagi menutup aurat. Tetamu lelaki (muslim dan bukan muslim) berpakaian sopan dengan jubah, baju melayu dan t-shirt. Tidak kelihatan yang mengenakan 'fesyen akhir zaman' seperti rambut yang diwarnakan, rambut 'kusut masai' ala pelakon Korea, yang berseluar jeans ketat. Semuanya nampak soleh dan sopan. Tetamu wanita yang hadir pun begitu juga. Mereka memakai jubah, bertudung labuh, berbaju kurung sungguh sopan. Tidak ada yang berhias berlebih-lebihan atau bersolek sakan. Sangat indah dan menenangkan.

Telinga saya juga aman daripada bunyi-bunyian muzik lagu perkahwinan yang selalunya terdapat di kenduri yang lain. Tiada juga alunan kompang atau alunan nasyid dan selawat yang membingitkan. Suasana yang tenang. Tetamu dapat berbual mesra dan menjalinkan ukhuwwah dengan mudah kerana tidak perlu mengangkat suara atau pun 'replay' isi bualan. Tetamu dapat menikmati hidangan dengan sebaiknya.

Pengantin perempuan pula sentiasa berada di dalam rumah. Jika ada saudara mara atau kenalan yang ingin berjumpa dengan si raja sehari, mereka akan masuk ke rumah.Dengan ini si raja sehari terhindar daripada pandangan-pandangan lelaki yang bukan mahram. Sangat terjaga. Pengantin pula tidak bersolek dengan pemerah pipi, gincu di bibir dan pembayang mata. Hanya bedak dihiaskan di muka menampakkan kecantikannya yang asli di samping baju pengantin yang sempurna menutupkan auratnya.

Inilah pengalaman yang tidak dapat saya lupakan..insyaAllah. Masih sukar untuk menemukan majlis kenduri kahwin yang sebaik ini. Majlis kenduri kahwin yang menjamin kesejahteraan dan kebahagian kedua-dua belah pihak tuan rumah dan tetamu. Majlis kenduri yang tidak membazir berlebih-lebihan. Majlis kenduri yang ada kedamaian dan ketenangan padanya. Majlis kenduri yang mendapat berkat dan rahmat daripada Allah..


No comments:

Post a Comment